Ejen Dani Olmo, Andy Bara, mengesahkan pemain kebangsaan Sepanyol itu akan kekal di Barcelona walaupun rayuan kedua untuk pendaftarannya ditolak.

Olmo menyertai Barca dari RB Leipzig dengan bayaran £50 juta (RM231,612,000.00) seperti yang dilaporkan, tetapi kelab itu tidak dapat memenuhi had gaji LaLiga, dengan hanya didaftarkan untuk separuh musim pertama.

Selepas percubaan awal mereka untuk mendaftarkan pemain berusia 26 tahun itu digagalkan, pihak bertangunggjawab juga menafikan kelulusan kelab untuk pendaftaran Olmo.

Ini bermakna Barcelona akan kehilangan Olmo secara percuma pada Januari, dengan pasukan seperti Manchester City dan Manchester United dilaporkan berminat untuk menandatanganinya.



Dalam masa sama, adendum telah dimasukkan dalam klausa dalam kontrak yang membolehkannya meninggalkan Camp Nou secara percuma jika kelab itu tidak dapat mendaftarkannya kerana sekatan kewangan.

Dengan ketidakpastian mengenai masa depan anak guamnya, Bara mendedahkan Olmo akan kekal di Camp Nou walau apa pun keputusan.

"Keputusan yang dibuat oleh Dani adalah untuk kekal di Barcelona kerana dia mahu bermain untuk Barca. Kami tidak mempertimbangkan sebarang pilihan lain. Dani mahu bermain untuk Barcelona," kata Bara.

Barcelona juga mengesahkan dalam satu kenyataan pada hari Selasa bahawa kelab itu telah memohon lesen baharu untuk mendaftarkan kedua-dua Olmo dan Pau Victor.

"FC Barcelona memaklumkan bahawa ia telah memohon lesen baharu untuk pemain Daniel Olmo dan Pau Victor kepada Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF)," kata mereka.

"Kelab itu ingin menafikan telah meminta atau menerima sebarang moratorium daripada mana-mana badan pentadbir untuk inskripsi ini."