LaLiga saran Barcelona pancing semula Lionel Messi
Shaiful Shamsudin
April 19, 2023 06:33 MYT
April 19, 2023 06:33 MYT
Barcelona perlu memancing semula Lionel Messi tetapi LaLiga sama sekali tidak akan melonggarkan peraturan sedia ada untuk melicinkan urusan itu.
Hasrat tu diluarkan Presiden LaLiga, Javier Tebas, yang mahu melihat penyerang handalan terbabit kembali ke kancah Sepanyol.
Messi -- yang dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman -- meninggalkan Barca secara percuma dua tahun lalu berikutan sekatan kewangan yang menghalang kelab itu daripada memperbaharui kontraknya.
Sejak itu, desas-desus Messi bakal meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) -- kontraknya di Perancis tamat musim ini -- dan kembali ke pangkuan kelab Catalan berkenaan.
Tetapi situasi kewangan Barca masih belum pulih untuk membawa masuk pemilik jersi keramat nombor 10 itu.
Tebas memberitahu Blaugrana bulan lalu bahawa mereka perlu membayar balik sejumlah besar yuran perpindahan dan pemotongan gaji sebelum membeli sebarang pemain lagi.
LaLiga berkeras untuk tidak melonggarkan peraturannya tetapi Tebas masih melihat jalan untuk Barca menandatangani semula Messi.
“Setakat hari ini, tiada (Barcelona tidak boleh menandatangani Messi) tetapi masih ada banyak masa lagi,” katanya malam tadi.
? "Encara" Messi ? April 18, 2007 ? Joaquim Maria Puyal | Catalunya Ràdio pic.twitter.com/p6zCpBinBw
— FC Barcelona (@FCBarcelona) April 18, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Kami sedang menunggu pelan daya maju mereka untuk musim depan.
“Saya harap mereka boleh membuat langkah yang diperlukan bagi memberi ruang kepada Messi untuk disenaraikan tetapi sudah tentu kami tidak akan mengubah sebarang peraturan demi Messi.
"Barca boleh membuat rundingan; mereka perlu menjual pemain. Itulah yang kami harapkan berlaku kerana saya merupakan peminat Messi dan saya mahu Messi bermain dalam liga kami.
"Tetapi kami tidak akan mengubah sebarang peraturan. Ia adalah rumit tetapi saya fikir mereka mempunyai kapasiti untuk melakukannya."
Messi mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempohnya setahun lagi di PSG, malah dia juga acap dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS).