Raphinha menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan untuk Barcelona kembali berkelebihan 11 mata di persada LaLiga dengan menewaskan 10 pemain Real Betis 4-0 awal pagi tadi.
Real Madrid merapatkan jurang itu kepada lapan mata susulan kemenangan 4-2 ke atas Almeria sebelum sepak mula di Camp Nou tetapi Barca memastikan keadaan itu tidak bertahan lama menerusi kemenangan bergaya mereka.
Gol tandukan awal Andreas Christensen selepas menerima bola daripada lintangan gemilang Raphinha meletakkan Blaugrana di depan pada minit ke-14 sebelum Robert Lewandowski menyambut masuk gol kedua Barca pada minit ke-36, tiga minit selepas pemain gantian Betis, Edgar Gonzalez, dilayangkan kad kuning kedua.
Raphinha kemudian mencatatkan namanya sebagai penjaring gol ketiga Barca sebaik menerima lorongan Sergio Busquet pada minit ke-39, di mana jaringan itu disahkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) biarpun pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid.
Aksi dominan Barca itu ditamatkan dengan satu lagi gol yang disumbangkan jaringan sendiri Guido Rodriguez pada minit ke-82.
Barca -- yang turut memperkenalkan pemain muda berusia 15 tahun, Lamine Yamal, dalam pertemuan kali ini -- seterusnya akan menantikan kunjungan Osasuna awal pagi Rabu ini manakala Betis pula akan bertandang ke laman Athletic Bilbao dua hari kemudian.
Max AC ? pic.twitter.com/er9hQdseAp
— FC Barcelona (@FCBarcelona) April 29, 2023