BARCELONA 1 SEVILLA 0

Bekas pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos, terjaring bola ke gawang sendiri untuk memberikan Barcelona kemenangan tipis 1-0 ke atas Sevilla dalam perlawanan LaLiga di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Xavi itu kelihatan akan berdepan satu lagi keputusan seri selepas terikat 2-2 dengan Mallorca pertengahan minggu ini tetapi gol sendiri Ramnos berbaki 14 minit terakhir mengembalikan rentak kemenangan mereka.

Kemenangan itu meletakkan Barca ke puncak LaLiga dengan kelebihan satu mata di atas Girona dan dua mata di atas Real Madrid, yang akan bertandang ke laman Girona awal pagi esok.

Selepas terikat dengan Mallorca pada Rabu lalu, Xavi melakukan empat pertukaran dengan kembali meletakkan Robert Lewandowski dalam kesebelasan utama, Jules Kounde berpasangan dengan Andreas Christensen di bahagian pertahanan sambil pemain berusia 16 tahun, Lamine Yamal, turut memulakan perlawanan itu.

Buat Sevilla pula, Ramos, 37, yang kembali ke kelab zaman remajanya itu pada bulan lalu selepas 16 tahun di Santiago Bernabeu dan dua tahun bersama Paris Saint-Germain (PSG), menjadi antara lima perubahan pemain yang dilakukan bagi menghadapi seteru setempat itu.

Kegusaran Barcelona dalam menghadapi keputusan seri ketiga musim ini akhirnya terubat pada minit ke-75 apabila tandukan Yamal daripada lambungan Ferran Torres terjatuh di depan Ramos sebelum pemain veteran itu tertolak bola ke gawang sendiri.