UEL
Lage berang jaringan ofsaid diberi kepada Eintracht
EINTRACHT FRANKFURT 2 BENFICA 0
(Agregat 4-4, Eintracht mara menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan)
Bruno Lage mempersoalkan keputusan pengadil yang menghantarnya ke bangku penonton selepas memberikan jaringan ofsaid yang menyaksikan Benfica tersingkir daripada saingan Liga Europa (UEL), awal pagi tadi.
Pengadil perlawanan memberikan jaringan kepada Filip Kostic pada minit ke-36 walaupun pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Eintracht memenangi perlawanan 2-0 di laman sendiri, sekali gus melangkah ke separuh akhir menerusi kelebihan jaringan selepas perlawanan berakhir 4-4 secara agregat setelah Benfica menang perlawanan pertama 4-2.
Insiden tersebut, bagaimanapun, tidak boleh dinilai semula menerusi sistem video bantuan pengadil (VAR) yang hanya akan digunakan pada 29 Mei dalam aksi final di Baku.
Dan pengendali Benfica, Lage, berasakan kelakuannya di tepi padang terhadap pengadil, Daniele Orsato, tidak mengundang sebarang masalah.
"Dalam saingan UEL, terdapat satu skrin kecil berdekatan bangku simpanan dan apabila saya melihatnya, saya menyedari jaringan tersebut dalam kedudukan ofsaid," kata Lage.
"Saya mengambil dua atau tiga langkah ke arah pengadil keempat perlawanan tetapi ia dianggap sebagai satu kesalahan.
"Ramai jurulatih melakukan perkara yang sama tetapi saya telah diarah ke bangku simpanan.
"Pengadil telah melakukan keputusan yang salah tetapi kami harus melihat kepada permainan kami sendiri.
"Dalam separuh masa pertama, Benfica kurang memberikan tekanan sebelum memperbaikinya dalam babak kedua. Kami cuba mencari keputusan tetapi gagal melakukannya.
"Saya percaya kami tidak mengulangi persembahan yang sama ketika aksi pertama. Kami mencipta peluang yang mampu melayakkan kami ke peringkat seterusnya.
Jurulatih Eintracht, Adi Hutter, berkata, "Anda memerlukan tuah beraksi dalam saingan ini. Kami bertahan dengan baik dan berjaya mengekang lawan daripada menjaringkan gol."