Shaiful Shamsudin
Sun Jan 12 2025
Pep Guardiola mengesahkan kapten, Kyle Walker, telah meminta untuk meninggalkan Manchester City.
Walker diketepikan daripada skuad City dalam kemenangan 8-0 ke atas Salford City dalam pusingan ketiga Piala FA, tengah malam tadi, dengan pemain muda, Jahmai Simpson-Pusey dan Nico O'Reilly, bermula sebagai bek tengah sementara Matheus Nunes memainkan peranan sebagai pertahanan sayap kanan.
Pemain berusia 34 tahun itu telah mengharungi musim yang sukar dan telah dikritik hebat tatkala usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah pun musnah.
Minit permainan Walker semakin berkurangan pada 2024-25 apabila hanya membuat sembilan permulaan dalam 15 penampilan liga, manakala Rico Lewis diberi keutamaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Walker, yang terikat kontrak hingga penghujung 2025-26, hampir menyertai Bayern Munich pada 2023 tetapi akhirnya memuktamadkan masa depannya bersama City.
Bagaimanapun, khabar angin mengenai masa depannya terus beritup kencang dengan Milan, di samping kelab-kelab Liga Pro Saudi dan Liga Bolasepak Utama (MLS) dilaporkan berminat dengan sentuhan pemain veteran England itu.
Ditanya mengenai ketiadaan Walker selepas perlawanan tengah malam tadi, Guardiola memberitahu wartawan: "Dua hari lalu, Kyle telah meminta untuk meneroka pilihan untuk bermain di luar negara dan menamatkan kariernya.
"Dan atas sebab itu, saya lebih cenderung untuk menurunkan pemain lain.
“Dia pernah bertanyakan soal ini dua tahun lalu selepas kami menjuarai gelaran 'treble'. Bayern Munich mahukannya tetapi tawaran mereka tidak cukup baik.
"Dalam fikirannya, dia ingin menerokai pasaran, berkelana ke negara lain di penghujung kariernya atas banyak sebab.
"Atas sebab itu, saya lebih suka menurunkan pemain lain yang fikirannya berada di sini."