Kuvondik Ruziev jadi sandaran ubah rentak tidak menentu Sri Pahang FC

Shaiful Shamsudin
Julai 8, 2023 22:01 MYT
Sri Pahang FC bercadang menurunkan pemain import tengah baru dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev, apabila menghadapi Selangor FC malam esok.
Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman, Fandi Ahmad sedia mempertaruhkan Ruziev bagi memastikan rentak dua kemenangan berturut-turut Liga Super mampu dikekalkan ketika mereka bertemu Gergasi Merah di Stadium Darulmakmur.
"Kalau boleh kami nak kutip mata penuh walaupun permainan Selangor sedang meningkat dan kepantasan mereka amat luar biasa sekali.
"Tapi kami selalu bekerja keras sebagai sebuah pasukan. Kami mempunyai semangat berpasukan walaupun tidak mempunyai ramai pemain ternama.
"Dalam perlawanan lalu, kami selalu berusaha keras hingga wisel akhir perlawanan.
"Jadi saya tidak risau, lagi-lagi bermain di rumah sendiri walaupun harus bermatian-matian untuk simpan tiga mata di sini," kata ketua jurulatih itu dalam persiapan akhir anak buahnya di venue perlawanan, petang tadi.
"Pastinya mereka akan berada dalam senarai 20 pemain tapi yang pastinya kami akan mainkan Kuvondik Ruziev terlebih dahulu dan Rafael Silva (pula) mungkin diturunkan dalam separuh masa kedua atau 30 minit terakhir," katanya.
"Kami sering bermain baik dalam separuh masa pertama atau kedua.
"Mudah-mudahan kali ini kami ada satu lagi pemain yang boleh bantu kami, Ruziev akan memulakan perlawanan dan rakan sepasukan bertambah bersemangat untuk kami bermain baik sepanjang 90 minit," katanya.
#Sri Pahang FC #Kuvondik Ruziev
;