LIGA SUPER MSIA

Kurniawan kecewa gagal atasi Perak

Willie Jude 15/03/2020 | 18:27 MYT
Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto akui kecewa kerana gagal mencatat kemenangan dalam aksi Liga Super bertemu Perak di Stadium Likas, di Kota Kinabalu, kelmarin.
Beliau berkata, mereka sepatutnya mampu memenangi perlawanan itu, lebih-lebih lagi dua kali mendahului lawan.
"Pemain hilang fokus di penghujung perlawanan, dan masalah komunikasi di antara pemain mungkin menjadi punca kita dibolosi gol kedua.
"Mereka mungkin keliru sama ada pemain lawan berada dalam keadaan offside atau tidak (ketika jaringan kedua Perak), tetapi itulah bola sepak, pemain tidak lari dari melakukan kesilapan," katanya ketika ditemui, kelmarin.
Kurniawan berkata, faktor keletihan kerana jadual padat juga bukanlah sebab mereka gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan itu.
"Saya tidak mahu menyalahkan faktor keletihan kerana pasukan Perak juga sama, 'recovery' mereka untuk menghadapi kami juga singkat," katanya.
Tambah beliau, skuad Tambadau akan memanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan berikutan saingan liga yang akan berehat panjang selepas ini.
Dalam aksi malam tadi, Sabah dua kali berada di depan hasil jaringan Mohd Azzizan Nordin dan Guy Gnabouyou namun Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjadi duri dalam daging buat Tambadau apabila pemain itu dua kali menyamakan kedudukan, sekali gus memastikan The Bos Gaurus mencuri satu mata dari Likas.
;