Kurniawan bersyukur isteri, anak-anak ada di sisi

Willie Jude
April 27, 2020 02:15 MYT
Sambutan aidilfitri akan datang pastinya sedikit berbeza buat pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, namun, beliau bersyukur kerana isteri dan anak-anak ada bersamanya di Kota Kinabalu, ketika ini.
Kurniawan berkata, isteri dan anak-anaknya tiba di Kota Kinabalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan, bulan lalu.
"Rasanya raya tahun ini di Sabah saja kerana memang situasinya seperti ini (PKP), tapi alhamdulillah, isteri dan anak-anak saya ada di sini juga.
"Biasanya kalau raya memang selalu bersama keluarga besar dan tentunya yang sangat dirindukan menjelang raya ialah suasana terawih, meriahnya saat beli makanan dan minuman sebelum buka puasa, suasana malam raya, solat aidilfitri serta suasana kunjung mengunjung di kalangan saudara-mara dan kawan-kawan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Legenda Indonesia itu berkata, semua yang disebutkan tadi mungkin tidak akan berlaku pada tahun ini namun beliau tetap berfikiran positif.
"Kita cuba untuk berfikiran positif dan ambil hikmah dari semua kejadian ini bahawa kita diingatkan untuk lebih jaga kesihatan dan kebersihan," katanya lagi.
;