Kuala Lumpur City tidak gentar sambut kunjungan Sabah FC

Shaiful Shamsudin
Ogos 11, 2023 19:47 MYT
Kuala Lumpur City mempunyai misi mengembalikan maruah selepas tewas kepada Selangor FC dalam pertemuan 'derby' Lembah Klang, Selasa lalu.
Dan usaha semestinya memerlukan rombakan taktikal dan persiapan yang rapi sempena minggu ke-20 Liga Super, Ahad ini.
Kedatangan ketua jurulatih yang baru, Nenad Bacina, bagaikan memberikan harapan dan sinar yang baru buat pasukan The City Boys dalam mengekalkan momentum terbaik mereka.
Meskipun tanpa kehadiran kapten pasukan, Paulo Josue, akibat digantung perlawanan, Bacina yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik ketika menentang Sabah.
"Kami boleh mempertaruhkan beberapa sistem sekalipun Sabah merupakan pasukan handalan.
"Sata pernah bersama pasukan ketika menghadapi Sabah dan saya tidak nampak mengapa kami harus berasa gentar," katanya dalam persiapan pasukan di Cheras hari ini.
Dalam pada itu, Zhafri Yahya, mengakui masih menyesuaikan diri dengan taktikal dan bimbingan cara baru yang dibawa oleh Bacina walaupun pernah memimpin pasukan itu sebagai penolong jurulatih sehingga menjuarai Piala Malaysia 2021.
"Mungkin falsafahnya ada kena mengena dengan Bojan Hodak tetapi kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan," katanya.
#liga super #Sabah FC #Kuala Lumpur City #DemiLigaKita