Kuala Lumpur City tiada masalah kongsi stadium
Shaiful Shamsudin
Februari 7, 2023 18:46 MYT
Februari 7, 2023 18:46 MYT
Perkongsian stadium bersama PDRM dalam saingan Liga Super musim ini bukan perkara baru buat Kuala Lumpur (KL) City.
Tetapi dalam perbualan dengan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard, menjelaskan kelancaran perlawanan pasukannya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di Cheras akan dititikberatkan.
Hal itu menjurus ke arah perlunya untuk Stanley kembali menilai aturan jadual skuad Warga Kota dan skuad Sang Saka Biru yang akan diwar-warkan pengelola saingan domestik, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), musim ini.
"Yang penting adalah penjadualannya.
"Mungkin MFL berdepan tugas lebih berat memandangkan adanya tempoh rehat bagi penggunaan sesebuah padang.
"Dalam Piala AFC sekalipun, MFL sentiasa meneliti pelbagai faktor misalnya waktu rehat bagi membolehkan kami dapat bersaing demi mengibarkan bendera Malaysia.
"Rasanya tiada masalah tapi ia hanya boleh dilihat sebaik jadual penuh dikeluarkan MFL," katanya.
Barisan kendalian Bojan Hodak itu bakal melayani kunjungan Penang di tempat sendiri bagi perlawanan pembukaan pada 25 Februari depan sementara PDRM berdepan Sabah di tempat lawan.