LIGA SUPER MSIA

Kuala Lumpur bertuah miliki Sharbinee, kata Maciel

03/06/2018 | 11:26 MYT
Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, kagum dengan kebangkitan yang cuba dibuktikan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, selepas melewati masalah kesihatan yang membuatkannya berehat selama setahun daripada arena bola sepak sejak tahun lalu.
Sharbinee ibarat jawapan kepada kesulitan yang dialami Kuala Lumpur sebelum ini menerusi aksi bertenaganya ketika mereka menewaskan Terengganu 3-0 dalam Liga Super di Stadium Cheras, semalam.
Sudah pasti apa yang ditonjolkan Sharbinee memberi kelegaan buat Maciel yang berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan bekas pemain kebangsaan itu.
"Semua orang tahu tentang apa yang dialaminya tahun lalu. Dia kembali pada tahun ini dan tampil langkah demi langkah bagi meningkatkan tahap kecergasaan. Jadi, kami bertuah memilikinya pada tahun ini," kata Maciel.
Hakikatnya, Maciel menjangkakan suatu aksi yang sukar bakal dilalui Kuala Lumpur merujuk kepada rentak konsisten Terengganu akhir-akhir ini.
"Kami berbincang di dalam bilik persalinan apabila kami memerlukan kesegaran dalam corak permainan. Saya memberitahu pemain agar memberikan lebih tekanan pada separuh masa kedua," katanya lagi.
Sementara itu, jurulatih Terenggganu, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan anak buahnya seakan-akan hilang pedoman di atas padang sebaik dua jaringan Kuala Lumpur pada penghujung babak pertama dan awal babak kedua.
Ketinggalan 2-0 membuatkan pemain Terengganu seakan-akan lupa untuk terus komited di atas padang, sebaliknya hampir keseluruhan babak kedua, Terengganu hilang penguasaan bola dan hanya membiarkan Kuala Lumpur mencorakkan permainan.
"Saya yakin tetapi apabila jaringan kedua itu senang sangat, ia membunuh kami. Kami hilang pedoman selepas itu. Ia masalah komunikasi di antara pemain," kata Irfan.
;