Penerbangan pemain bawah 17 tahun wanita kebangsaan ke Jordan pada 2 Oktober lalu terpaksa dibatalkan ekoran pergolakan yang sedang berlaku di negara Asia Barat.

Hasrat skuad kendalian Cameron Ng itu yang sepatutnya dijadualkan berlepas ke Amman, Jordan, untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 bertemu tuan rumah dan Palestin terpaksa dilupakan atas faktor keselamatan pemain negara.

Menurut pengurusnya, Datuk Fadilah Sarbi, tempias tersebut sudah menjadi isu globa serta memberi impak besar kepada beberapa jadual penerbangan rakan kongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), iaitu Malaysia Airlines (MAS) terpaksa dihentikan buat seketika.

"Penerbangan tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan daripada syarikat penerbangan berikutan krisis peperangan di antara Iraq dan negara haram, Israel, yang berlaku sekarang.

"Atas nasihat daripada pengurusan tertinggi FAM, kami mengambil berat tentang keselamatan serta memutuskan untuk tidak pergi ke sana," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.




Justeru, usaha untuk mengadakan aksi persahabatan yang lain untuk barisan pemain muda itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat sambil latihan pasukan berjalan seperti biasa di Wisma FAM, ketika ini.

"Pihak Jordan mengambil maklum terhadap perkara tersebut sambil berusaha menyelesaikan masalah ini, namun penangguhan sahaja dibuat atau mungkin ada tarikh yang lain untuk perlawanan seterusnya," tambahnya.