BUNDESLIGA

Kovac: Perisic semakin hampir jadi milik Bayern

Penulis Jemputan 13/08/2019 | 02:12 MYT
Niko Kovac mendedahkan Ivan Perisic semakin hampir untuk menyertai Bayern Munich selepas menjalani ujian perubatan dengan juara Bundesliga itu.
Perisic dikaitkan keluar daripada Inter sejurus ketibaan Antonio Conte dan pemain antarabangsa Croatia itu berada di Munich semalam.
Bekas pemain Borussia Dortmund dan Wolfsburg berkenaan dijangka menyertai Bayern menerusi perjanjian secara pinjaman semusim dengan pilihan untuk membuat perpindahan tetap.
Ditanya mengenai pemain terbabit selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Energie Cottbus dalam DFB-Pokal, pengurus Bayern itu memberitahu pemberita: "Perisic sedang menjalani pemeriksaan kesihatan hari ini dan sekiranya semuanya berjalan lancar, maka segala dokumen membabitkan Inter akan diselesaikan dan dia akan menjadi salah seorang pemain kami. "
Kovac berhajat mendapat pemain sayap berikutan pemergian Franck Ribery dan Arjen Robben pada akhir musim lalu.
Bayern berharap untuk menandatangani pemain antarabangsa Jerman, Leroy Sane, sebelum bintang Manchester City itu dilanda kecederaan lutut yang serius.
"Saya tidak suka melihat cara pemain ditangani oleh beberapa kelab lain yang meletakkan pemain dalam kategori kedua atau ketiga," katanya.
"Kami sepatutnya menghormati setiap pemain. Itulah pendirian kelab dan saya. Itulah yang saya harapkan daripada semua orang kerana adalah mudah untuk mengkritik seseorang.
"Mula-mula anda gagal memancing pemain ini, maka anda beralih pula kepada calon lain, seterusnya anda mempunyai pilihan X, Y atau Z. Saya tidak fikir itu satu tindakan bagus, itulah pendapat peribadi saya. Mungkin ada yang sependapat dengan saya."
Kovac ditemui selepas Bayern mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan pasukan divisyen keempat, Energie, hasil gol sumbangan Robert Lewandowski, Kingsley Coman dan Leon Goretzka.
"Pasukan saya bermain dengan baik," katanya.
"Kami sepatutnya lebih mendominasi dalam babak kedua tetapi apapun, saya tetap berpuas hati. Energie telah berhempas-pulas, ia satu permainan yang hebat.
"Kami menguasai perlawanan, kami memberi tekanan kepada lawan tetapi sentiasa perlu berwaspada dengan serangan balas. Kami perlu memperincikan lagi hantaran di kubu lawan. Kami patut melakukannya dengan lebih baik."
;