Hari terakhir pencalonan sempena Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencetuskan drama apabila difahamkan calon pilihan bagi jawatan timbalan presiden badan induk itu, Firdaus Mohamed, tidak bertanding.

Firdaus yang juga naib presiden FAM dikatakan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi menjelang tarikh tutup pencalonan hari ini.

Sememangnya, ia drama yang berterusan menjelang kongres badan induk itu selepas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar, mengumumkan untuk tidak bertanding merebut kerusi panas presiden FAM.

Ini bermakna Datuk Joehari Ayob dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan kerusinya sebelum ini.



Apa pun, kedudukan setiap calon dikatakan belum selamat rentetan isu borang pencalonan sudah dipanjangkan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Saya menawarkan diri untuk bertanding naib presiden FAM. Dalam masa sama, KLFA menyokong penuh Datuk Joehari Ayob untuk bertanding presiden FAM.

Perjuangan saya untuk dicalonkan sebagai naib presiden FAM dan saya tidak bercita-cita untuk bertanding (jawatan) presiden FAM," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.