BOLA SEPAK
Kongres FAM: Suraya beri jaminan perkasa ekosistem bola sepak wanita
Dato Suraya Yaacob berharap dia akan terus diberikan kepercayaan oleh ahli gabungan untuk berada dalam senarai exco wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang kongres badan induk itu yang dijadualkan berlangsung 15 Februari ini.
Dia yang sebelum ini memikul portfolio Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita memberikan jaminan akan terus memperkasakan ekosistem bola sepak wanita negara ke peringkat yang lebih tinggi jika diberikan mandat.
Jelasnya lagi, selain bola sepak wanita, pembangunan sukan futsal wanita negara juga bakal menjadi agenda utama yang akan diberikan tumpuan pada masa akan datang.
Untuk rekod, Suraya bukanlah individu asing dalam arena bolasepak wanita apabila beliau telah menjawat jawatan exco di Wisma FAM sejak 2017.
"Saya berharap untuk diberikan peluang untuk penggal yang ketiga untuk bersama FAM. Bola sepak wanita bukan hanya untuk skuad negara namun untuk membentuk ekosistem di pentas tempatan terlebih dahulu sementara meningkatkan lagi kualiti skuad futsal wanita negara," katanya.