LALIGA

Koke sedia terima kedatangan Rodriguez

Penulis Jemputan 31/07/2019 | 03:15 MYT
Kapten Atletico Madrid, Koke, memuji James Rodriguez dan sedia menyambut baik kedatangan pemain perancang Real Madrid itu ke Wanda Metropolitano.
Pemain berusia 28 tahun itu dijangka meninggalkan Santiago Bernabeu, dengan Atletico dan Napoli kini dilihat sebagai destinasinya.
Koke sedia menerima kehadiran Rodriguez di Atletico selepas bercakap mengenai bakat yang dimiliki bekas pemain tengah Bayern Munich itu.
"Dia seorang pemain Real," katanya kepada Cadena SER.
"Rodriguez adalah pemain berkualiti dan kami tidak tahu apa yang bakal berlaku. Jika dia menyertai kami, kami akan menyambut baik kehadirannya dan jika tidak, saya mengucapkan semoga berjaya bersama pasukan baru."
Atletico telah melalui proses rombakan pasukan, termasuk menandatangani Joao Felix dari Benfica dengan yuran perpindahan EURO126 juta (RM580 juta).
Penyerang berusia 19 tahun itu telah meledak satu gol dan melakukan dua bantuan jaringan ketika Atletico mengatasi Real 7-3 dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), Sabtu lalu, tetapi Koke meminta semua penyokong supaya lebih bersabar dengan Felix.
"Dia seorang pemain yang berbakat tetapi anda perlu bersabar. Dia masih perlu berusaha dan meningkatkan lagi mutu permainannya.
"Felix telah melakukan dua bantuan jaringan, meledak satu gol dan berharap momentum itu dapat diteruskan. Dia sangat teruja untuk beraksi tetapi kami enggan memberi tekanan kepadanya.
"Benarkan dia mendengar nasihat rakan sepasukan dan jurulatih."
;