UEL

Koeman bidas kelekaan Everton

17/08/2017 | 23:18 MYT
EVERTON 2 HAJDUK SPLIT 0
Ronald Koeman kecewa dengan kegagalan Everton untuk meneruskan rentak positif separuh masa pertama ketika menentang Hajduk Split sekalipun menang selesa 2-0 dalam pertemuan pertama play-off Liga Europa di Goodison Park, awal pagi tadi.
Everton menguasai 45 minit permainan dan menerajui perlawanan menerusi jaringan Michael Keane dan Idrissa Gueye, namun mereka tidak mampu mengukuhkan kedudukan sebaik permainan bersambung dan terpaksa bergantung kepada kecekapan penjaga gol, Jordan Pickford, yang menafikan beberapa percubaan berbahaya.
Koeman pantas mengenal pasti tahap persembahan berbeza itu dengan menyatakan kekecewaannya selepas buntu dalam separuh masa kedua.
"Saya sangat gembira dengan persembahan babak pertama dan tidak gembira dengan aksi separuh masa kedua," kata pengurus itu.
"Kami terlepas peluang besar untuk mencetak lebih banyak gol dan mengesahkan kelayakan.
"Hajduk mempunyai dua atau tiga peluang untuk menjadikan kedudukan 2-1 -- kami bernasib baik."
Pemain pertahanan, Keane, menyumbat gol pertama buat Everton manakala seorang lagi muka baru, Pickford, turut menyerlah. Justeru, Koeman berpuas hati dengan bentengnya yang tidak dibolosi dalam empat perlawanan.
"Saya sangat gembira kami kebal dalam empat perlawanan berturut-turut," tambahnya.
"Itulah perkara positif dan ia bermula dengan pertahanan yang teratur dan penjaga gol yang bagus.
"Terdapat seorang penjaga gawang yang beraksi di tahap tertinggi sepanjang 90 minit permainan dan Jordan orangnya."
;