Klopp sahut jawatan ketua bola sepak global baru Red Bull

Shaiful Shamsudin
Oktober 10, 2024 08:57 MYT
Jurgen Klopp akan menggalas peranan pertamanya sejak meninggalkan Liverpool dengan mengumumkan akan bertindak sebagai ketua bola sepak global baru Red Bull.
Klopp, yang menamatkan tempoh sembilan tahun di Anfield awal tahun ini, telah menandatangani perjanjian jangka panjang dipercayai selama lima tahun dengan jenama minuman tenaga itu.
Dia akan bertanggungjawab di peringkat pengurusan strategik untuk rangkaian kelab antarabangsa Red Bull termasuk RB Leipzig, New York Red Bulls, Red Bull Bragantino dan Red Bull Salzburg yang diuruskan oleh bekas pembantunya, Pep Lijnders.
Red Bull berkata Klopp tidak akan terlibat dalam operasi harian tetapi akan bertindak sebagai penasihat pasukan mengenai falsafah permainan, strategi perpindahan dan pembangunan kejurulatihan.
Klopp secara rasmi akan memulakan peranan itu pada awal tahun depan.
“Saya mahu berkongsi pengalaman yang terkumpul selama ini,” katanya di Instagram.
“Kita semua tahu ada lebih ramai pengurus yang berjaya di luar sana tetapi dalam perjalanan kerjaya saya, saya telah berjuang untuk naik divisyen, berjuang untuk gelaran dan saya telah berjuang untuk trofi.
“Kadang-kadang kami gagal, kadang-kadang kami berjaya dan menghadapi sesuatu itu bukan mudah, tetapi kebarangkaliannya ada.
"Kemudian saya mahu belajar semula. Ini kerana apabila saya menggalas jawatan pengurus dan perlu beraksi setiap tiga hari, saya hampir tidak mempunyai masa.
"Saya mahu melihat, merasa dan memikirkan apa yang berguna untuk bola sepak, membangunkan bola sepak."
#Red Bull #EPL
;