UCL

Klopp jangkakan Lovren terlepas aksi menentang Bayern di Anfield

Penulis Jemputan 15/02/2019 | 03:56 MYT
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menjangkakan pertemuan dengan Bayern Munich di Anfield akan berlangsung tanpa kelibat Dejan Lovren -- tetapi dalam masa yang sama masih menaruh harapan terhadap pertahanan tengah itu yang masih dibelenggu kecederaan.
Lovren ditimpa kecederaan hamstring ketika awal permainan menentang Wolves dalam aksi Piala FA, 7 Januari lalu yang menyisihkannya daripada skuad pertama.
Pemain Croatia itu tidak mengikuti rombongan bersama rakan sepasukan yang mengadakan kem latihan di Marbella, Sepanyol, minggu ini menjelang pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menentang juara Bundesliga, Bayern Munich.
Liverpool sudah pasti terpaksa melupakan khidmat Virgil van Dijk untuk perlawanan itu ekoran penggantungan manakala Joe Gomez akan diketepikan kerana kecederaan.
Berikutan itu, Klopp mungkin hanya mempunyai seorang pertahanan tengah sejati, Joel Matip, untuk aksi Rabu depan.
Pemain tengah, Fabinho, beberapa kali dikerah di bahagian pertahanan akibat kekurangan pilihan di bahagian itu, termasuk dalam kemenangan 1-0 di Brighton & Hove Albion, bulan lalu.
"Saya belum mahu mengetepikannya tetapi saya sukar untuk memasang perancangan mengenainya," kata Klopp kepada laman sesawang rasmi kelab mengenai status semasa Lovren.
"Dia tidak berada di sini (Sepanyol) atas alasan yang lebih baik memandangkan dia tidak dapat mengikuti latihan. Kami akan kembali ke Melwood hari ini. Dejan akan menyertai kami esok dan kami akan melihat perkembangannya.
"Apapun, sudah tentu kami perlu melakukan persiapan dengan pendekatan yang berbeza. Jika Dejan memberikan isyarat 'saya lulus ujian kecergasan' Isnin depan, maka saya perlu membuat pertimbangan semula.
"Tetapi buat masa ini, kami membuat persediaan yang sudah dirancangkan, iaitu Dejan tidak akan terlibat. Kami perlu mencari penyelesaian lain."
Georginio Wijnaldum pula memberikan khabar ceria di kem Liverpool.
Pemain tengah itu bermain dalam kesakitan ketika membantu Liverpool menundukkan Bournemouth pada hujung minggu lalu, termasuk menyumbang gol kedua dalam kemenangan 3-0 itu.
"Gini belum boleh berlatih lagi. Ia sesuatu yang tidak bagus untuknya selepas mengharungi aksi yang sangat sengit," kata Klopp.
"Dia mengalami sedikit masalah tetapi akan kembali berlatih hari ini, jadi ia satu perkembangan yang menarik."
Selepas menyambut Bayern dalam aksi Eropah, Liverpool akan ke Manchester United pada 24 Februari dan kemenangan di Old Trafford akan membawa pasukan kendalian Klopp itu kembali ke puncak Liga Perdana.
;