KL Rovers hanya sedia runding jual pegangan

Shaiful Shamsudin
Februari 25, 2024 20:17 MYT
Kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad, mengenai penjualan kelab Kuala Lumpur (KL) Rovers, semata-mata demi menampung masalah kewangan adalah tidak tepat.
Situasi terkini membabitkan KL Rovers hanyalah membuka pintu untuk mencari pelabur yang mahu membeli saham naib juara Liga M3 itu demi kelangsungan pasukan yang khabarnya sudah bersedia melangkah ke Liga Super musim depan.
Begitupun, kenyataan Khalid bercanggah dengan situasi sebenar selain timbul kekeliruan ramai pihak.
"Kami sentiasa bercadang membuka peluang untuk mencari pemegang saham syarikat.
"Kami sudah ada calon dari luar yang menunjukkan (tanda) positif (dalam rundingannya).
"Tapi apabila keluar cerita KL Rovers akan dijual ke kelab lain, ia memberi sedikit persoalan kepada pelabur berpotensi yang menunjukkan minat," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Aznor Dzulkarnain Aziz, di Nadi Weekend sebentar tadi.
Sejak dua hari lalu, ramai pihak telah menghubungi KL Rovers untuk mendapatkan penjelasan sebenar.
Keadaan ini meletakkan mereka dalam situasi rumit hanya disebabkan kenyataan rasmi yang tidak tepat hingga mengganggu perkembangan KL Rovers yang sedang mempersiapkan pasukan menjelang musim 2024.
"Tujuan penjualan kami pegangan syarikat bukan seluruhnya.
"Kami jual saham syarikat untuk ia berkembang dan bergerak," katanya.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita
;