LIGA SUPER MSIA
KL City langsai dulu tunggakan sebulan gaji
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, memaklumkan bahawa pihaknya dalam usaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji barisan pemain Kuala Lumpur (KL) City yang kebanyakannya berbaki tiga bulan setengah.
Jelasnya, satu bulan tunggakan gaji dijangka dapat diselesaikan di penghujung bulan ini menerusi dana berjumlah RM1 juta yang bakal diperoleh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Selebihnya akan dilunaskan selepas mendapat peruntukan daripada barisan penaja yang bakal menyertai keluar bola sepak Kuala Lumpur dalam tempoh masa terdekat.
"Akhir bulan ini kami akan selesaikan RM1j untuk masalah sebulan gaji pasukan.
"Tunggakkan musim ini adalah tiga bulan setengah dan kami akan selesaikan yang duitnya dapati daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).
"Kami akan meminta tajaan daripada syarikat koprorat dan dari situ kami akan buat pembayaran gaji tertunggak itu," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama, penaung KL City yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, percaya kepimpinan baru KLFA yang diterajui Syed Yazid mampu pacu 'The City Boys' ke tahap yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Dia percaya ahli jawatankuasa baru KLFA bagi penggal 2024-2028 yang dipilih secara rasminya 12 Oktober lalu akan memastikan kebajikan 'skuad Warga Kota' menjadikan keutamaan di samping penambahbaikan program peringkat akar umbi.
"Niat kami cuma satu, untuk pastikan KLFA dan KL City berada di kedudukan kewangan yang lebih stabil. Beberapa perkara perlu diteliti dan harapn saya ia boleh menenangkan fikiran supaya mereka dapat bermain dengan baik," katanya.