King's Cup: Terpulang kepada Kim Pan-gon tentukan barisan pemain -- Scott O'Donnell

Muzaffar Musa
September 26, 2022 19:55 MYT
Di sebalik corak permainan positif yang dipamerkan skuad negara sepanjang dua perlawanan Kejohanan Bola Sepak King's Cup baru-baru ini, masih ada segelintir peminat yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Antaranya adalah disebabkan beberapa muka baru yang tidak diberikan peluang beraksi dan Mohamadou Sumareh masih berada dalam kesebelasan utama.
Bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, menemubual Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donnell.
"Saya fikir ia satu kejohanan yang baik disertai skuad negara, ia memberikan Kim dan staf kejurulatihannya peluang untuk menguji pemain baru yang mereka bawa.
"Beraksi dengan format kejohanan mini seperti ini, saya fikir ia lebih bermakna berbanding hanya dua perlawnaan persahabatan biasa.
"Kerana ia lebih kompetitif dan anda bermain untuk memenangi sesuatu.
"Secara keseluruhan, saya fikir kita telah bermain dengan fleksibiliti taktikal. Dalam perlawanan pertama, kita bermain dengan formasi 1-3-4-3 dan dalam perlawanan kedua, kita bermain dengan formasi 1-4-3-3.
"Ia menunjukkan bahawa kita boleh bermain dengan formasi berbeza dan dengan taktikal yang amat berdisiplin.
"Ia sesuatu yang bagus untuk dia dan staff kejurulatihannya pening kepala dalam memilih pemain terbaik bagi Piala AFF," katanya.
Mengulas mengenai pemain baru yang tidak diberikan peluang, O'Donnell menambah: "Ia terpulang kepada Kim untuk memilih pemainnya kerana dia ketua jurulatih.
"Mungkin ramai yang memberikan komen itu tidak berada sewaktu sesi latihan, jadi mereka tidak nampak kelakuan dan sikap setiap pemain ketika itu.
"Kim membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik buat pasukan dan adakalanya, hanya dengan membawa masuk pemain baru ke dalam kem kebangsaan, ia sudah cukup bagus untuk pemain berkenaan diberikan kesempatan merasa bagaimana keadaannya berada dalam kem kebangsaan dan berlatih bersama pemain-pemain terbaik di negara ini.
"Kerana ia sebahagian daripada pembelajaran buat setiap pemain dan sekiranya mereka terus memberikan prestasi terbaik, mereka akan mendapat peluang," katanya lagi.
Sebagai rekod, Malaysia layak ke final King's Cup dengan menewaskan tuan rumah, Thailand, 5-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sepanjang waktu sebenar.
Skuad negara kemudian terikat tanpa jaringan dengan Tajikistan dalam final sebelum tewas 0-3 dalam satu lagi penentuan penalti.
#bola sepak #Harimau Malaya #Kim Pan-gon #King's Cup #Scott O'Donnell
;