King's Cup: Penentuan penalti sekat hajat Harimau Malaya bergelar juara

Muzaffar Musa
September 25, 2022 00:09 MYT
MALAYSIA 0 TAJIKISTAN 0
(Tajikistan muncul juara selepas menang penentuan penalti 3-0)
Hasrat skuad negara untuk bergelar juara Kejohanan Bola Sepak King's Cup tidak kesampaian apabila tewas 0-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas 90 minit aksi final di Stadium Chiang Mai itu berakhir tanpa jaringan sebentar tadi.
Hujan lebat dan permukaan padang licin jelas membantutkan pergerakan yang direncanakan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama, namun ia tidak menghalang aksi-aksi menarik disajikan sepanjang tempoh itu.
Akhyar Rashid terlebih dahulu menguji penjaga gol lawan pada minit ke-10 tetapi percubaan jarak jauhnya mudah diselamatkan Rustam Yatimov.
Malaysia sekali lagi memiliki peluang terbaik di depan gawang lawan pada minit ke-23 susulan sepakan penjuru Safawi Rasid tetapi keadaan air bertakung di depan gawang lawan menyukarkan pergerakan bola dan tandukan terakhir Brendan Gan pula melepasi palang gol.
Penyerang utama, Syafiq Ahmad, kemudian tampil dengan percubaan akrobatik yang sedikit tersasar di sisi gawang pada minit ke-38 tetapi skuad negara boleh dikira bernasib baik apabila terjahan dengan dua kaki oleh Mohamadou Sumareh tidak diakhiri dengan layangan kad kuning kedua sebelum ke bilik persalinan.
Malaysia tampil lebih garang dalam babak kedua dan mula memberikan ancaman seawal minit pertama selepas perlawanan bersambung, di mana percubaan Safawi terbias pertahanan lawan sebelum diselamatkan Yatimov.
Gerakan solo menarik Akhyar yang memperdayakan deretan pertahanan lawan hampir memecahkan kebuntuan buat pasukan bimbingan Kim Pan-gon itu pada minit ke-53 tetapi dia tergelincir sebelum sentuhan terakhirnya dilakukan sehingga percubaan itu tersasar.
Peluang terbaik skuad negara muncul pada minit ke-57 apabila Safawi memanfaatkan kekuatan kaki kirinya untuk melepaskan rembatan jarak jauh menyerong tetapi Yatimov sekali lagi muncul penyelamat Tajikistan.
Penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed, terpaksa menerbangkan badannya untuk menyelamatkan gawang negara daripada percubaan jarak jauh Muhammadjon Rahimov pada minit ke-69, namun kedua-dua pasukan terikat sehingga penghujung waktu sebenar untuk perlawanan akhir itu ditamatkan dengan penentuan sepakan penalti.
Yatimov terbukti menjadi wira Tajikistan dalam perlawanan kali ini, di mana dia menggagalkan sepakan Dion Cools dan Nazmi Faiz Mansor sebelum sepakan Safawi pula terkena palang gol, sekali gus membenarkan Tajikistan untuk bergelar juara.
#bola sepak #Harimau Malaya #King's Cup #Tajikistan
;