King's Cup: Kim Pan-gon puji karakter Harimau Malaya

Shaiful Shamsudin
September 26, 2022 14:39 MYT
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon, memuji barisan pemainnya sekalipun dikecewakan Tajikistan dalam perlawanan akhir King's Cup, malam tadi.
Skuad Harimau Malaya terpaksa akur terlepas peluang untuk menggenggam piala yang dimenangi pada 44 tahun lalu itu di Stadium Chiang Mai apabila tewas 0-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas tempoh 90 minit permainan berkesudahan tanpa jaringan.
Skuad negara menyajikan persembahan yang memberangsangkan untuk mengimbangi permainan lawan biarpun hujan lebat membatasi perancangan asal mereka.
"Kami telah menjangkakan ia menjadi perlawanan yang sukar kerana Tajikistan, menduduki ranking ke-109 dunia adalah pasukan yang sangat fizikal dan kuat tetapi saya amat berbangga dengan sikap dan semangat pemain Harimau Malaya.
"Tiada penyesalan kerana kami telah melakukan yang terbaik dan akan menilai kem ini sebelum membuat persiapan menghadapi Piala AFF 2022,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan menerusi rakaman audio yang disediakan kepada media menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Kempen seterusnya buat Malaysia ialah Piala AFF yang bakal dilangsung pada 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023, untuk menilai persiapan skuad negara menjelang Piala Asia, Jun 2023.
#Harimau Malaya #Kim Pan-gon #King's Cup
;