King's Cup: Kim Pan-gon mahu Harimau Malaya ke final

Muzaffar Musa
September 21, 2022 19:37 MYT
Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, mahu Harimau Malaya layak ke final Kejohanan Bolasepak King's Cup kerana mahukan pemainnya menimba pengalaman bertemu pasukan dari rantau berbeza.
Malaysia akan berdepan pasukan tuan rumah, Thailand, di Stadium Chiang Mai malam esok dan sekiranya memenangi perlawanan itu, skuad bimbingan Pan-gon itu berpeluang untuk bertemu sama ada Tajikistan atau Trinidad & Tabago.
Bagi pengendali dari Korea Selatan itu, dia mahu melihat pasukannya menentang lawan berbeza kerana pemainnya sudah masak dengan cara permainan Thailand menerusi beberapa pertemuan serantau sebelum ini.
"Peringkat ini adalah sebahagian daripada persiapan untuk kami menjadi lebih berani, untuk menguji persefahaman dan formasi ," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Berdepan Thailand berada di satu tahap tertentu tetapi kami mahu pergi lebih jauh untuk bertemu pasukan dari Amerika Selatan atau pasukan dari Asia Tengah.
"Ia pasti akan menjadi pengalaman yang baik untuk kami betemu Thailand dan kemudian menghadapi satu pasukan yang amat berbeza.
"Jadi, kami akan memanfaatkan peluang ini untuk menimba lebih banyak pengalaman buat pemain kami mendapatkan keyakinan diri dan bersaing sesama sendiri," katanya lagi.
#bola sepak #Thailand #Harimau Malaya #Kim Pan-gon #King's Cup
;