Tiga mata diraih Sabah FC ketika membelasah Hai Phong 4-1 dalam perlawanan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis disifatkan pemacu semangat The Rhinos dalam memburu slot peringkat seterusnya.

Itu reaksi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee apabila berkata, keputusan dalam perlawanan itu juga amat penting sekiranya Sabah berhasrat mara ke pusingan seterusnya.

“Sabah pula jika dilihat kedudukan dalam kumpulan sebelum perlawanan agak sedikit selesa.

“Tiga mata dalam perlawanan ini penting biarpun berbaki dua perlawanan lagi, kerana Makassar pun sedang mengintai peluang tempat kedua kumpulan.

“Saya sekali mengingatkan para pemain Sabah untuk mengekalkan disiplin dan tidak mengambil mudah apabila berdepan Hougang dan Makassar selepas ini,” katanya selepas perlawanan.

Stadium Likas sebelum itu kekal menjadi gelanggang keramat Sabah selepas meraih kemenangan bergaya ke atas kelab Vietnam tersebut.

Gol Rhinos dijelmakan Daniel Ting pada minit ke-20, Darren Lok (m-34), Gabriel Perez (m-70) dan Jafri Chew (m-95) manakala jaringan saguhati Hai Phong disumbangkan Yuri Souza (m-85).

Kemenangan di Kota Kinabalu itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mengumpul sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan - tiga menang dan satu tewas - sebelum ini.