Kim Swee, Nafuzi buat keputusan tepat untuk tambah pengalaman

Zaki Zainal
November 26, 2024 20:17 MYT
Trend jurulatih meninggalkan Liga Malaysia dianggap sebagai kebetulan dan perlu dilihat daripada sudut positif walaupun ia membabitkan jurulatih berprofil tinggi.
Bekas penyerang negara, Nizaruddin Yusof, mengakui situasi itu sekaligus membuka ruang kepada jurulatih tempatan lain untuk buktikan kewibawaaan dalam arena bola sepak tempatan.
Saingan Liga Malaysia dianggap hilang seri susulan beberapa jurulatih ternama meninggalkan Liga Malaysia.
Terbaru, Datuk Ong Kim Swee umum perpisahan dengan Sabah disusuli Nafuzi Zain meleraikan ikatan dengan Kedah Darul Aman.
Ia berlaku hampir serentak sekaligus menimbulkan persoalan terhadap minat jurulatih membimbing pasukan dalam Liga Malaysia.
"Saya bercakap tentang Coach Nafuzi dahulu, kita tahu apa yang berlaku. Untuk saya sesiapa sahaja duduk di tempat dia, mungkin jika ada tawaran yang sebegitu dia tidak akan tunggu.
"Kalau kita nampak dia masih ada perasaan untuk nak kekal bersama pasukan Kedah, nampak dia serasi.
"Dari segi masalah dalaman saya rasa mungkin satu tindakan yang bijak tetapi ada tekanan untuk dia sebab kita tahu untuk bawa skuad kebangsaan walaupun bawah 23 tahun tapi tekanannya ukup tinggi.
"Datuk OKS pula mungkin dia nak merasai untuk membawa pasukan di luar konteks liga kita, jadi rasa tiada apa yang kita boleh fikirkan.
"Cuma mungkin itu saya rasa satu perkara yang dia rasa perlu untuk dia menambahkan pengalaman untuk membawa pasukan yang bukan di Malaysia sahaja tetapi juga pasukan di Liga Indonesia.
"Sama juga macam Coach Nafuzi mungkin dia boleh dapat pengalaman yang baru dan kita tahu dia sudah mempunyai nama di Liga Malaysia. Saya rasa tiada masalah untuk dia pergi menyesuaikan diri di Liga Indonesia.
Kim Swee sah berkelana ke Indonesia apabila diumumkan secara rasmi menyertai Persis Solo manakala Nafuzi difahamkan akan ke Kelana Jaya bersama skuad bawah 23 tahun negara.
Keputusan Nafuzi dan Kim Swee menyaksikan Liga Malaysia kehilangan dua lagi jurulatih terbaik selepas Tan Cheng Hoe berpisah dengan Selangor awal musim ini.
Begitupun, Nizaruddin berpandangan dua jurulatih terbabit mempunyai sebab tersendiri untuk meninggalkan pasukan masing-masing.
"Kita nampak ramai jurulatih muda yang berbakat dan berkualiti yang ada lesen Pro A untuk mereka membawa mana-mana pasukan yang ada dalam Liga Super.
"Dan saya rasa mungkin sudah sampai masanya untuk beri ruang kepada jurulatih-jurulatih muda yang ada untuk diberi tugasan yang penting dalam pasukan untuk merencana apa-apa taktikal.
"Cara permainan yang mereka mahu yang ada dalam diri mereka untuk menyesuaikan diri dengan pasukan yang mereka akan bawa."
#bola sepak #Ong Kim Swee #Nafuzi Zain
;