Kim Pan-gon turut ambil langkah berjaga-jaga


Mei 9, 2024 08:48 MYT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, turut mengambil langkah berjaga-jaga susulan insiden serangan membabitkan beberapa pemain skuad kebangsaan yang berlaku ketika ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata Pan-gon memahami situasi yang berlaku selain badan induk itu juga akan mengambil langkah keselamatan sewajarnya, terutama sewaktu kem latihan pusat bulan depan.
"Dia memahami apa yang sedang berlaku dan dia pun ambil langkah jaga-jaga.
"Seperti kem latihan kebangsaan pada Jun ini, kami lebih berhati-hati, terutama daripada segi keselamatan di dalam dan luar negara," katanya.
Sebelum ini, dua pemain kebangsaan, iaitu Akhyar Rashid, telah disamun dalam satu kejadian di kediamannya di Kuala Terengganu pada Khamis lalu, manakala Faisal Halim pula telah disimbah asid dua hari kemudian di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.
Selain itu, bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim, turut menjadi mangsa serangan apabila cermin belakang kereta miliknya dipecahkan oleh individu tidak dikenali dalam kejadian kelmarin.
Dalam pada itu, Hamidin menegaskan, skuad negara tidak akan menyerah diri dan tetap akan menghadapi baki dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan di sebalik pelbagai insiden yang berlaku.
"Mana boleh kita menyerah diri dengan Kyrgyzstan, kita mesti lawanlah. Kenapa kita nak menyerah diri pula?
"Apa pun, dengan usaha, peluang 50-50 dengan Kyrgyzstan. Saya pun dah cakap dengan Pan-gon dan dia tahu.
"Kita akan berusaha keras dan beliau telah mengenal pasti siapa nak menggantikan Faisal Halim nanti pada bulan Jun," katanya.
--Sinar Harian
#bola sepak #Harimau Malaya #Kelayakan Piala Asia #kelayakan Piala Dunia #Kim Pan-gon
;