Penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md. Jalil, tidak menganggap dirinya seperti 'kain buruk' walaupun kembali dipanggil memperkuatkan skuad The City Boys itu dalam Liga Perdana 2020.
Dia merupakan sebahagian anggota Kuala Lumpur yang menjuarai Liga Perdana pada 2017, namun menjadi mangsa lambakan penjaga gol skuad Warga Kota itu sehingga dipinjamkan kepada UKM FC musim lalu.
Masih tidak berputus asa dengan nasibnya, Khatul Anuar bangkit dengan cemerlang bersama pasukan institusi pengajian tinggi itu dengan rekod bolos paling sedikit dalam Piala Cabaran sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik final kejohanan itu.
Ia menyerlahkan potensinya sebagai penjaga gol muda terbaik dan penjaga gol kelahiran Kedah itu akan kembali ke pangkuan Kuala Lumpur musim ini.
"Saya masih ada kontrak, mahu tidak mahu, saya perlu pulang dan menuruti perancangan pihak pengurusan.
"Jadi, saya perlu terus bersaing dan ia bukan perkara mudah," katanya.
Bakat penjaga gol berusia 22 tahun itu perlu dimanfaatkan Kuala Lumpur sebaik mungkin.
Ia kerana Khatul Anuar mempunyai kelebihan tersendiri biarpun akan berdepan saingan hebat daripada seorang lagi penjaga gol, Zamir Selamat.
"Saya memperoleh peluang yang sangat banyak dengan UKM dan saya harap ia akan membantu saya dengan Kuala Lumpur untuk musim 2020 ini," tambahnya.
Editor: Muzaffar Musa
Penulis Jemputan
Sun Dec 29 2019