BOLA SEPAK MSIA
Khairul Fahmi: Awasi perangkap Bhutan
Penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat, bersedia untuk turun dalam penampilan ke-49 antarabangsanya selain menamatkan kemarau kemenangan skuad negara apabila berdepan Bhutan dalam aksi persahabatan antarabangsa, Ahad ini.
Kali terakhir Khairul Fahmi menyarung jersi Harimau Malaya adalah dalam Kejohanan Piala AFF 2016.
Selepas lebih setahun tersisih, penjaga gawang itu kembali dipanggil memperkasakan barisan negara oleh jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk aksi kelayakan Piala Asia berdepan Lubnan, Selasa lalu.
Iklan
Dengan Cheng Hoe dijangka menggilirkan pemain untuk aksi berdepan Bhutan, Khairul Fahmi mungkin diturunkan selepas tidak beraksi di Beirut.
"Insya-Allah, kalau saya diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Bhutan, saya akan memberikan 100 peratus.
"Kami tidak boleh memandang rendah mereka, jadi kami harus fokus bagi mencari kemenangan yang sudah lama tidak diraih, sudah setahun lebih kita tidak menang.
"Saya harap kami mendapat suntikan moral dalam aksi menentang Bhutan ini," kata penjaga gol The Red Warriors itu.
Dalam masa sama, Cheng Hoe berharap barisan pemain yang akan diturunkan nanti tidak mengulangi kesilapan seperti ketika berdepan Mongolia, minggu lalu.
Cheng Hoe menggesa anak buahnya lebih bijak mengatur gerakan ke kawasan lawan dan tidak hanya terlalu ghairah memburu jaringan ketika berdepan lawan yang dijangka lebih banyak bertahan.
"Kami tahu mereka akan bermain secara bertahan. Kami perlu bersabar dan mengekalkan kawalan.
"Dalam bola sepak, kita tidak boleh tergesa-gesa menyerang kerana kadang-kadang lawan akan menggunakan serangan balas.
"Mungkin dalam perlawanan menentang Mongolia, kami sudah belajar sesuatu," kata Cheng Hoe.
Must-Watch Video