Ketenangan jadi modal Virgil van Dijk pacu Liverpool
Shaiful Shamsudin
April 6, 2024 08:51 MYT
April 6, 2024 08:51 MYT
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, berharap ketenangan yang ditunjukkannya di dalam dan di luar padang dapat membantu pasukannya mengatasi rintangan perebutan kejuaraan.
Ketenangan pertahanan tengah Belanda itu di bawah tekanan menjadi salah satu ciri keupayaannya sejak mengambil alih peranan kapten daripada Jordan Henderson, dan dia cuba menerapkannya ke dalam seluruh skuad.
Keputusan setakat ini menunjukkan ia berfungsi ketika mereka menuju ke lapan perlawanan terakhir musim ini dengan kelebihan dua mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan kemenangan 3-1 ke atas Sheffield United.
“Ketenangan yang saya inginkan dalam hidup secara peribadi adalah cuba untuk tidak tertekan dengan perkara kecil yang tidak sepatutnya mempengaruhi minda anda -- ia adalah sesuatu yang saya cuba terap dalam kumpulan ini,” kata pemain berusia 32 tahun itu kepada agensi berita PA.
“Saya cuba fokus kepada kekuatan kami dan itu adalah corak persembahan kami. Saya tahu saya mempunyai peranan yang besar.
“Saya cukup lantang tetapi saya lebih suka mempunyai suasana yang baik di luar padang, saya mahu semua orang berasa selesa dan berasa gembira serta menyatakan diri mereka dengan cara yang terbaik kerana kemudian, anda boleh mendapatkan hasil yang terbaik daripada semua orang.
“Tahap ini telah menjadi penanda aras sejak beberapa tahun lalu menerusi bekas kapten kami terdahulu yang telah bertindak cemerlang, tetapi saya melakukannya dengan gaya tersendiri.
“Tanggungjawab yang saya laksanakan terhadap kelab ini juga berlaku di seluruh dunia dan saya tidak akan mengambil mudah kerana ia adalah satu situasi yang istimewa untuk saya menjadi kapten Liverpool.”