BOLA SEPAK
Kesilapan undang parah buat Harimau Malaya
Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia-Piala Asia berdepan satu lagi keputusan kurang cemerlang apabila tewas 2-0 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bahrain, sebentar tadi.
Malaysia yang memasuki perlawanan ini berbekalkan kekalahan 4-1 kepada Kuwait Selasa lalu ternyata berdepan satu lagi cabaran berliku.
Deretan kesilapan dalam melakukan serta menerima hantaran membenarkan Bahrain mendominasi keseluruhan separuh masa pertama, gawang Malaysia dibolosi pada minit ke-41, apabila pemain pertahanan negara, Irfan Zakaria, menjatuhkan Mahdi Abduljabbar sebelum dia bertindak cemerlang menyempurnakan sepakan penalti.
Dalam separuh masa kedua, Malaysia sekali lagi melakukan kesilapan, ketika Bahrain melakukan tekanan barisan pertahanan negara, sentuhan penjaga gol, Farizal Marlias, membuka peluang terhidang buat Mohd Jassim Marhoon menggandakan jaringan pada minit ke-61.
Corak gerakan serta hantaran pendek cuba diterapkan barisan bimbingan Tan Cheng Hoe dilihat sebagai perkara yang mahu diuji dan diteruskan menjelang aksi bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.
Gandingan Liridon Krasniqi yang diapit Nor Azam Azih serta Syamer Kutty Abba ternyata memerlukan peningkatan dalam misi Malaysia untuk memperoleh mata penting dalam aksi berikutnya.