BOLA SEPAK
Kerteh FC ungguli Liga Amatur Terengganu
Penampilan sulung Kerteh FC dalam Liga Amatur Terengganu (TAL) ternyata tidak sia-sia selepas pasukan itu muncul juara Piala TAL kelmarin.
Menurut jurucakap Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan, pencapaian itu adalah hasil perancangan mereka sejak 2017 dan disusuli dengan pemilihan pemain melalui Liga Kerteh pada 2018.
Mengulas lebih lanjut, Syed Khairi Amier berkata faktor kos mendorong skuad The Oilers itu untuk mengukuhkan kewangan mereka sebelum memberikan fokus kepada sasaran yang lebih besar.
Tidak mahu tergesa-gesa beraksi dalam Liga M3, Kerteh FC sebaliknya mengambil langkah selamat demi memastikan kelangsungan kelab itu dapat dijaga untuk jangka masa panjang.
"Berdasarkan laporan kewangan 2018, kami mencatat keuntungan 21 peratus, namun belum cukup untuk menampung kos keseluruhan operasi.
"Kerteh FC berazam untuk layak ke Liga Super satu hari nanti dengan kedudukan kewangan yang stabil biarpun memakan masa 20 tahun," katanya.
Masih segar dengan kejuaraan liga Disember lalu, Kerteh FC bergelar juara berganda dengan kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti ke atas Markless ST.
Penjaga gol, Muhd Syawal Azri, muncul wira selepas menafikan sepakan Nur Salam Norizan dan Saiful Syahmi Che Ngah sebelum Hafidz Mohd Zahari menyudahkan tendangan terakhir untuk Kerteh FC bergelar juara.
Kemenangan itu membolehkan pasukan itu membawa pulang trofi, medal dan wang tunai RM13,000 manakala Markless ST terpaksa berpuas hati dengan medal dan RM8,000.
"Pemain berlatih lebih setahun sebagai persiapan TAL dan ini adalah hasil setelah bekerja keras demi Kerteh FC," tambahnya.
Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)
Editor: Muzaffar Musa