Kerteh FC kelab Liga M5 pertama tubuh koperasi
Shaiful Shamsudin
Januari 7, 2024 16:38 MYT
Januari 7, 2024 16:38 MYT
Kelab Liga M5, Kerteh FC, yang berpangkalan di Terengganu mencipta sejarah baru muncul sebagai kelab bola sepak pertama di negara ini yang menubuhkan koperasi.
Presidennya, Mohd Razeman Mat Nashim, berkata keahlian koperasi itu adalah berasaskan keahlian dari seluruh negara.
"Mesyuarat Agung Permulaan di Dewan Sivik Kerteh semalam telah dihadiri hampir 60 yang bertujuan untuk melantik Ahli Lembaga Koperasi (ALK), membentuk serta meluluskan undang-undang kecil KPKBKB.
"Kami telah menerima maklum balas menggalakkan menerusi pendaftaran awal seramai hampir 200 orang yang terdiri daripada penyokong Kerteh FC yang juga para ibu bapa pelatih-pelatih akademi Kerteh FC untuk menjadi ahli koperasi," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Mesyuarat semalam telah memutuskan Koperasi Penyokong Kelab Bola sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) sebagai nama yang akan didaftarkan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Mesyuarat juga bersetuju sebulat suara melantik anak jati Kerteh, Hazran Mohamed, sebagai Pengerusi Koperasi bersama lima lagi ALK.
"Kami meletakkan sasaran awal untuk menarik seramai lebih kurang 3,000 ahli koperasi dan kami menawarkan yuran istimewa untuk tempoh tiga bulan pertama ini kepada yang mendaftar awal sebagai ahli.
"Matlamat utama kita menubuhkan koperasi ini sebenarnya adalah untuk berkongsi manfaat kepada seluruh komuniti Kerteh dan juga penyokong Kerteh FC," katanya mengenai kelab yang ditubuhkan pada 2018 itu dan menjuarai Liga Perdana dan Piala Liga Amatur Terengganu (TAL), setahun kemudian.
Kesemua aset Kerteh FC akan diletakkan di bawah pemilikan KPKBKB bagi membolehkan ahli-ahli koperasi mendapat manfaat hasil perniagaan yang dijalankan.