Kerajaan negeri sentiasa membantu Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerusi sumber kewangan lain dan tidak sesekali menggunakan duit daripada kantung kerajaan negeri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengulangi pendirian itu selain menafikan lepas tangan berhubung kemelut KDA FC yang berdepan masalah kewangan.
Menurutnya, sejak KDA FC ditubuhkan, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah membantu dengan menyumbang RM16 juta kepada kelab tersebut.
“Selama ini kita bantu melalui KFA, sampai sekarang KFA bantu dan terbaharu kita salurkan beberapa juta ringgit lagi cuma saya tak mahu bising.
“Lepas itu mereka masih kata kita tak tolong, RM16 juta bukan jumlah yang sikit, kalau bagi anak yatim bayangkan tengok, berbanding bola sepak, mana lebih afdal, tentulah anak yatim,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Cahaya Ramadan Yayasan TM bersama anak yatim di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar hari ini.
Sanusi, yang juga Presiden KFA, menegaskan polisi kerajaan negeri masih kekal, yang mana duit kerajaan negeri tidak akan digunakan bagi membiayai gaji pemain bola sepak atau masalah berkaitan KDA FC yang kini sudah diswastakan.
"Saya tak akan guna duit kerajaan untuk bayar gaji bola sepak, sama juga tak guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pekerja dalam syarikat.
“Polisi ini sangat mudah. Duit bola kita cari duit lain. KFA masih ada dan sudah tolong sejumlah RM16 juta sejak dulu,” katanya.
Sanusi berkata demikian ketika mengulas mengenai baki tunggakan gaji yang belum diselesaikan KDA FC setakat ini sehingga mencetuskan kebimbangan penyokong Kedah bahawa KDA FC bakal tersingkir daripada Liga Malaysia.
Dalam pada itu, Sanusi turut melahirkan kebimbangan sekiranya penaja mungkin terkesan untuk menyumbang kepada kelab bola sepak disebabkan KFA pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Januari lalu.
"Bola ni kalau kita cari duit nanti SPRM mai cekup (tangkap), yang tu pun saya hangat hati juga.
“Di seluruh dunia, semua persatuan bola sepak dan sukan cari sumbangan, macam-macam cara orang menyumbang, yang tu pun mereka nak cekup kita.
"Nak bermain politik juga dalam sukan, itu yang susah sebab ia boleh membunuh bola sepak negara," katanya.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Sat Apr 06 2024