Kepincangan Kelantan United di jentera serangan, bukan jadual

Shaiful Shamsudin
April 17, 2023 21:52 MYT
Meskipun kepenatan akibat perlawanan berturut-turut di tempat lawan, penolong jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor, enggan menjadikan situasi itu sebagai alasan untuk menghadapi Penang FC, malam esok.
Bekas pertahanan Selangor dan Melaka itu menegaskan anak buahnya tetap perlu bangkit dalam pertemuan Liga Super itu bagi menyalakan api perjuangan pasukannya dalam kancah Liga Malaysia (LigaM) musim ini.
Kelantan United terpaksa beraksi di tempat lawan dalam tempoh sebulan susulan difahamkan Kerajaan Negeri Kelantan tidak membenarkan penggunaan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sepanjang Ramadan ini.
Ia sekali gus menyaksikan pendatang baru Liga Super itu tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan pertemuan menentang Harimau Kumbang bakal menjadi aksi keenam mereka di gelanggang lawan.
"Dalam bola sepak kami perlu terima, baik perlawanan di tempat sendiri mahupun lawan, yang paling penting kami kena catatkan kemenangan dan salah satu caranya ialah menjaringkan gol.
"Jadi kami akan perbaiki aspek kelemahan menjaringkan gol," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Nazrulerwan sememangnya mengakui barisan pemain Kelantan United berdepan tugasan mencabar bertemu skuad Haria Penang Haria susulan lawan kini berada dalam prestasi terbaik.
Ia menyaksikan anak buah Manzoor Azwira meledak lapan gol daripada dua perlawanan terakhir membabitkan satu aksi Liga Super dan satu perlawanan Piala FA baru-baru ini.
"PEnang telah menjaringkan apan gol dlaam dua perlawanan, bagi saya menggerunkan.
"Sebagai satu pasukan, kami perlu menyerang dan bertahan bersama-sama.
"Kami boleh manfaatkan perlawanan menentang Penang menerusi percaturan gabungan di antara pemain muda dan berpengalaman," katanya lagi.
#liga super #Kelantan United #DemiLigaKita
;