Bekas jurulatih negara, Dollah Salleh -- yang merupakan pengendali pertama mempercayai kemampuan Mohamadou Sumareh -- berpendapat Tan Cheng Hoe perlu memilih siapa yang akan memulakan kesebelasan utama di antara kedua-dua pemain terbabit.

Menjelang aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada awal pagi Sabtu ini, jurulatih Pahang itu menegaskan Vietnam ketika ini adalah pasukan yang sudah diperam sejak 2014, tahun yang sama Malaysia menewaskan mereka 4-1 di tempat lawan.

Jelas, daripada segi keserasian mereka jauh mengatasi skuad negara ketika ini.

"Pemain 21-23 tahun mereka disimpan (dikekalkan) hingga sekarang.

"Mereka bukan macam dulu lagi, ini merupakan skuad terbaik yang pernah mereka ada.

"Kita tahu corak permainan Safawi.

"Apabila bergerak dari sebelah kanan, dia menggelecek atau melakukan percubaan tapi di sebelah kiri dia tidak dapat buat apa yang dibuatnya selama ini.

"Begitu juga dengan Sumareh, dia mampu beraksi cemerlang di sebelah kanan tapi jika diletakkan ke sebelah kiri, saya sudah tidak jumpa dia lagi," kata Dollah.




Malaysia dikritik hebat gara-gara aksi goyah menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu, di sebalik dibarisi tiga pemain naturalisasi dan deretan pemain warisan.

Namun, Dollah menganggap Harimau Malaya mampu menjelmakan potensi sebenar dengan syarat perlu membentuk persefahaman terlebih dahulu.

"Malaysia adalah satu pasukan yang terbaik sebenarnya.

"Saya tidak tahu kenapa tetapi apa yang saya lihat pasukan 2019 sudah bagus, sebelum ini saya cakap benda yang sama juga.

"Cuma bermain sebagai satu pasukan kurang sedikit berbanding pasukan lain."