Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Malaysia tidak pernah lupa jasa Kim Pan-gon -- Safee Sali

Ammar Hakim
Jun 10, 2024 18:11 MYT
Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali, berpandangan Malaysia berdepan misi yang sukar namun percaya segalanya tidak mustahil untuk melihat kejutan berlaku di Bukit Jalil.
Malaysia berdepan tugas getir aksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia berdepan Chinese Taipei di laman sendiri.
Menerusi rancangan Nadi Bola: Latihan Pasukan Harimau Malaya, Safee berkata "Tanda aras dalam bola sepak adalah prestasi dan kemenangan. Kita tidak melupakan apa yang telah dilakukan Pan-gon. Ketika ini, ternyata tekanan adalah terhadap mereka apabila memerlukan jaringan yang besar.
"Memenangi perlawanan mungkin bukan satu perkara yang mustahil, tetapi jaringan yang besar itu sesuatu yang amat sukar untuk dicapai ketika ini. Bagaimanapun, saya melihat dia tetap optimis dengan kemampuan pasukan."
"Ketiadaan Faisal Halim, Arif Aiman Md Hanapi dan Darren Lok, mungkin keyakinan terhadap pasukan masih tinggi. Saya berharap pemain yang dipilih mengisi kekosongan itu mampu melakukan yang terbaik, terutama sekali beraksi di laman sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil."
Chinese Taipei menghadirkan beberapa muka baru dalam pasukan, bagaimanapun Safee melihat ia adalah satu kelebihan buat Harimau Malaya.
Dia berkata, "Daripada segi situasi perlawanan sebenar, saya percaya mereka masih lagi baru, jadi mereka dijangka bakal berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri terutama beraksi di SNBJ."
#bola sepak #Malaysia #Chinese Taipei #Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia
;