Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Kecergasan bayangi persiapan Harimau Malaya

Shaiful Shamsudin
Mac 20, 2024 20:42 MYT
Faktor kecergasan menjadi cabaran tersendiri buat Harimau Malaya untuk menghadapi Oman bagi mencerahkan peluang negara layak ke Piala Asia 2027.
Barisan kendalian Kim Pan-gon bertandang ke Muscat untuk menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D itu, awal pagi Jumaat ini dan ketua jurulatih kebangsaan tersebut melahirkan kekhuatiran terhadap prestasi anak buahnya yang kurang minit permainan sejak mereka melalui kempen Piala Asia 2023 di Qatar, dua bulan lalu.
"Kami berdepan beberapa kerumitan dalam persediaan tetapi semuanya berjalan lancar. Saya harap kami dapat peragakan satu permainan yang menghiburkan. Kami mahu membawa pulang mata ke Malaysia.
"Saya harap pemain berikan aksi terbaik untuk menawarkan kegembiraan di Malaysia.
"Kami tidak mempunyai minit permainan sebagai persiapan menghadapi perlawanan ini. Malah, pasukan kami belum lengkap ketika kami uji Nepal beberapa hari itu.
"Apa pun seperti kebiasaannya, pemain mempamerkan kesetiaan yang tinggi. Setakat ini persiapan kami berjalan lancar, walaupun ada halangan tapi itu tidak mengganggu kami untuk mengintai ke pusingan seterusnya.
"Kami kenal perwatakan semua pemain, mungkin selepas 10 minit perlawanan barulah kami dapat menghidu segala elemen," kata ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dalam sidang media di Nadi Arena sebentar tadi.
Begitupun, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mereka memberikan aksi memberangsangkan ketika bertemu pasukan di ranking ke-80 dunia itu dengan pertemuan terakhir pada 2016 menyaksikan Harimau Malaya tunduk 0-6.
Justeru, skuad kebangsaan tidak dapat lari daripada kesangsian terhadap stamina semasa mereka dengan pertahanan, Dion Cools, percaya barisan negara perlu mengelak daripada melakukan kesilapan pada saat-saat getir.
"Kami perlu berikan aksi terbaik tetapi saya jangkakan selepas 70-80 atau 90 minit, pemain negara akan mula keletihan.
"Adalah penting kami memiliki kekuatan mental demi meraih keputusan yang bagus di sini untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur," kata pertahanan Buriram United itu.
Pengalaman bertemu Jordan dan Bahrain dalam Piala Asia di Qatar yang lalu juga menjadi titik tolak untuk Pan-gon dalam mengetengahkan percaturan ampuh di Kompleks Sukan Sultan Qaboos.
"Mungkin adakalanya kami bergelut apabila bertemu pasukan dari Timur Tengah dan berdasarkan kami menyedari kekuatan fizikal mereka jadi kami harus bersedia.
"Oman merupakan pasukan yang gemar menyerang tapi dengan pelantikan jurulatih baru, sukar untuk kami mengkaji keupayaan semasa mereka," kata Pan-gon.
#Harimau Malaya #Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia
;