LIGA SUPER MSIA

Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Harimau Malaya usaha pulih semangat Syahmi Safari

Shaiful Shamsudin 17/05/2021 | 13:18 MYT
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, berharap kecekalan Syahmi Safari mampu membangkitkan semangat Harimau Malaya menjelang tiga perlawanan getir kelayakan Piala Asia 2022/Piala Dunia 2023, bermula 3 Jun depan.
Pemain serba boleh itu diuji dengan kehilangan puteri sulungnya yang dalam proses kelahiran -- beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.
Semangat Selma Rose Nayla mampu menjadi kekuatan anak jati Selangor itu dalam menggalas misi negara pada bulan depan.
"Sudah tentu sebagai insan biasa sesiapa sahaja akan berasa sedih.
"Kami sebagai barisan kejurutihan dan rakan sepasukan akan memotivasikannya dan meniupkan kata-kata semangat.
"Saya sentiasa menyatakan apa jua yhang berlaku sekalipun, semangat berpasukan menjadi keutamaan.
"Saya harap dia fokus dalam latihan selain tanggungjawab bersama pasukan juga penting," katanya.
Malaysia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan disusuli bertemu Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) di Dubai.
Sementara itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akur dengan hak mutlak dalam memutuskan mekanisma yang akan digunakan jawatankuasa pertandingan ekoran penarikan diri Korea Utara.
Namun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berharap ia dapat diperhalusi berlandaskan 'fair play'.
Lapan slot automatik melibatkan juara pasukan dan empat terbaik yang mengakhiri kempen pusingan kedua di kedudukan kedua memerlukan mekanisma terbaru yang hanya akan diputuskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuatkan AFC ketika ini dalam keadaan tertunggu-tunggu.
Perbincangan melibatkan kedua-dua badan induk itu akan berlangsung minggu ini dan satu keputusan dijangka akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.
Kali terakhir Malaysia menundukkan UAE di peringkat Asia, 41 tahun lalu.
#Harimau Malaya #Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia
;