BOLA SEPAK MSIA
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Harimau Malaya elak jerat di tempat lawan
Skuad Harimau Malaya yang tampak mengambil iktibar tragedi awal Piala Asia Qatar dalam merintis ranjau berliku di Muscat, Oman.
Penjaga gol utama negara, Ahmad Syihan Hazmi, ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di lokasi perlawanan ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Dunia/Piala Asia mengingatkan rakan sepasukannya agar usah terlalu yakin untuk mengharungi pertemuan di Stadium Sultan Qaboos, awal pagi Jumaat ini.
Kempen Piala Asia 2023 menyaksikan anak buah Kim Pan-gon dibelasah 0-4 ketika bertemu Jordan dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan kejohanan biarpun diramal mampu melakar kejutan ke atas lawan.
Situasi serupa juga berlaku dalam perlawanan kedua apabila skuad negara kecundang pada saat-saat akhir hasil gol lewat permainan oleh Bahrain.
Nyata, barisan pemain negara perlu berpijak di bumi yang nyata apabila bertemu dengan mana-mana pasukan handalan dari Timur Tengah.
"Jurulatih selalu beritahu kepada kami agar kenal pasti, jaga taktikal sendiri.
"Jangan yakin sangat, kami perlu tenang sebab kami bermain di tempat lawan. Kami tidak boleh terlalu taasub (dengan kemampuan sendiri) di tempat lawan, kami perlu membawa pulang mata dari tempat lawan," katanya.
Dan kini, Oman yang berada di ranking jauh lebih baik iaitu ke-80 dunia menjadi halangan seterusnya tatkala skuad negara tempang tanpa kapten, Matthew Davies, dan pertahanan, Junior Eldstal, ekoran kecederaan.
"Kami fokus kepada Piala Asia 2027 jadi kami kena fokus kepada semangat yang baru," katanya lagi.