MALAYSIA 3 CHINESE TAIPEI 1

Harimau Malaya bangkit mengatasi Chinese Taipei 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebentar tadi tetapi peluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak lebih awal ke Piala Asia 2027 sudah tertutup.

Ini kerana skuad negara perlu mengharapkan Oman menewaskan Republik Kyrgyz dengan kelebihan enam gol untuk memintas perbezaan jaringan pasukan itu dalam saingan Kumpulan D.

Di sebalik asakan yang diberikan skuad negara pada awal separuh masa pertama, kealpaan pertahanan menyaksikan mereka dihukum dengan gol pembukaan Chinese Taipei menerusi sentuhan pemusnah Yu Yao Hsing pada minit ke-20.

Safawi Rasid kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-53 dengan percubaan 'first timer' yang gagal ditangkap kemas pemain lawan.

Berita Berkaitan: Ranking FIFA: Indonesia kembali atasi Malaysia

Paulo Josue selepas itu meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama pada minit ke-69 dengan menyudahkan lintangan jarak dekat Corbin Ong.

Adib Ra'op memperoleh jaringan pertamanya di pentas antarabangsa dalam waktu kecederaan untuk memberikan Malaysia kemenangan 3-1

Sekiranya Malaysia gagal ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Harimau Malaya perlu menempuhi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bermula 25 Mac tahun depan selepas gagal layak secara automatik selaku dua pasukan teratas peringkat kumpulan pusingan kedua.