BOLA SEPAK MSIA
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Haqimi Azim tekad kerja keras main peranan penggempur Harimau Malaya
Penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli, menganggap tiada istilah slot automatik dalam kesebelasan utama biarpun pasukan kebangsaan tampak terdesak memerlukan seorang penyerang tulen.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, menerima tamparan hebat apabila kehilangan enam pemain utama dengan lima daripadanya ialah pemain di posisi serangan untuk berhitung dengan Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.
Membabitkan Darren Lok, Romel Morales, Syafiq Ahmad, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim, situasi itu secara tidak langsung membuka peluang buat Haqimi untuk menggalas misi penting pasukan dalam dua baki perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Begitupun, pemain berusia 21 tahun berketinggian 1.85 meter itu mengakui ia bukan satu jaminan, sebaliknya berasakan persaingan merebut tempat tetap sengit dalam kalangan semua pemain.
"Sukar untuk saya bermain dalam kesebelasan utama, saya perlu berjuang merebut tempat. Taktikal juga agak mencabar jadi saya perlu sesuaikan diri dengan segera.
"Ramai pemain yang boleh menggalas peranan nombor termasuk Paulo Josue.
"Tapi kalau diberi peluang, saya mahu buktikan bahawa saya mampu memikul peranan ini," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Skuad negara berlepas ke Bishkek, Republik Kyrgyz hari ini dengan pemain tengah Selangor, Nooa Laine, muncul pemain terakhir melapor diri bagi melengkapkan senarai 25 pemain.
Ia menyaksikan kemenangan atau seri mampu menyalakan api perjuangan Harimau Malaya untuk memasuki kelompok 18 pasukan terbaik Asia, namun sebaliknya jika pulang dengan tangan kosong.
"Sudah lama saya tidak mewakili negara tapi saya mahu berikan yang terbaik demi negara.
"Kalau kami layak, saya amat berbangga dan gembira. Saya mengharapkan doa daripada peminat bagi mengiringi kejayaan kami di sana," katanya yang telah membuat empat penampilan antarabangsa.