WC QUALIFYING

Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Akui berdepan tugas sukar, KPG kekal optimis Malaysia mampu menang

Ammar Hakim 05/06/2024 | 06:47 MYT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, berkata Malaysia memiliki semangat yang tinggi untuk memastikan kemenangan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bertemu Republik Kyrgyzstan esok.
"Perlawanan ini amat penting buat kedua-dua pasukan. Pasukan yang menang bakal mendapat tempat ke peringkat berikutnya," katanya dalam sidang media yang berlangsung sebentar tadi.
"Malaysia menyedari perlawanan sukar menanti kami. Namun ia tidak mematahkan semangat kami kerana semangat Malaysia untuk berada dalam kelompok 18 pasukan terbaik Asia.
"Kami akan cuba memberikan keputusan yang terbaik untuk Malaysia.
"Benar, perlawanan di tempat lawan adalah sukar. Namun aksi esok adalah berbeza, ia adalah penentu kedudukan Malaysia untuk melakar satu sejarah baru dalam saingan antarabangsa.
"Semua individu dalam pasukan ini memiliki semangat untuk memastikan kemenangan.
Ditanya mengapa Malaysia tidak tiba awal untuk persiapan perlawanan, Pan-gon berkata, "Kami tidak mengetahui mengenai kemudahan yang dimiliki di sini. Jika dibandingkan ketika kami ke Qatar untuk Piala Asia, kami mengetahui mereka mampu menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk latihan pemain. Itu sebab kami tidak tiba awal di sini."
#bola sepak #Harimau Malaya #Kelayakan Piala Asia #kelayakan Piala Dunia #Republik Kyrgyz
;