Amerika Syarikat (AS) mencerahkan peluang untuk layak ke Piala Dunia 2022 selepas menjaringkan tiga gol daripada gerakan'set-piece' untuk menewaskan Honduras 3-0 dalam perlawanan di bawah cuaca sejuk di Minessota hari ini.
Weston McKennie, Walker Zimmerman dan pemain gantian, Christian Pulisic, muncul penyumbang gol untuk AS mengumpulkan 21 mata daripada 11 perlawanan Zon CONCACAF, sekali gus bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Kanada dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 -- selepas tidak layak beraksi empat tahun lalu.
Kemenangan itu penting untuk AS mengekalkan kedudukan di tangga kedua sambil diekori rapat Mexico dan Panama -- yang bertembung sesama sendiri dalam satu lagi perlawanan.
Suhu sewaktu perlawanan itu turun sehingga 18 darjah celsius dalam babak pertama, di mana pemain kedua-dua pasukan dibenarkan menggunakan balaclava dan penghangat tangan.
Pemain tengah Juventus, McKennie, membuka jaringan pada minit kelapan menerusi tandukannya selepas menerima sepakan percuma Kellyn Acosta sebelum pertahanan Nashville, Zimmerman, menyumbat masuk gol kedua menerusi satu lagi situasi bola mati pada minit ke-37.
Bintang Chelsea, Pulisic, yang dimasukkan pada minit ke-64, kemudian berhasil melepaskan sepakan voli selepas menerima lintangan daripada sepakan penjuru Zimmerman pada minit ke-67.
.@cpulisic_10's 18th #USMNT goal. 3-0. pic.twitter.com/34WaM9e3Hk
— U.S. Soccer MNT (@USMNT) February 3, 2022