Kelayakan Piala Dunia: Sergio Ramos China bersara di pentas antarabangsa akibat terlalu kecewa
Shaiful Shamsudin
Mac 23, 2024 13:58 MYT
Mac 23, 2024 13:58 MYT
Ketua pasukan China, Zhang Linpeng, 34, sukar menerima hakikat kegagalannya pasukan kebangsaannya membenam Singapura di Stadium Nasional Singapura, kelmarin.
Negara Tembok Besar itu mendahului 2-0 sebelum diikat 2-2 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 berkenaan, secara tidak langsung mendorong Linpeng untuk bersara daripada pentas antarabangsa.
Tindakan pertahanan tengah yang diberi jolokan 'Sergio Ramos China' itu meletakkan jurulatih baru, Branko Ivankovic, dalam situasi sukar berikutan China di kedudukan ketiga Kumpulan C.
"Sebagai kapten saya tidak dapat melaksanakan peranan saya dalam membantu pasukan dan telah mengecewakan peminat,” katanya kepada pemberita.
"Selepas berfikir dengan masak-masak, saya percaya sudah tiba masanya untuk menamatkan karier kebangsaan saya.
"Kami tidak mampu untuk mengalahkan Singapura pada ketika ini.
"Secara peribadi saya rasa ia tidak boleh diterima. Ia memalukan."