BOLA SEPAK
Kelayakan Piala Dunia: Santos bidas keraguan terhadap Cristiano Ronaldo
PORTUGAL 3 TURKI 1
Kemerosotan sentuhan berbisa Cristiano Ronaldo tidak membimbangkan Fernando Santos yang berasakan ketua pasukan itu telah tampil cemerlang dalam kejayaan separuh akhir play-off kelayakan Piala Dunia Portugal ke atas Turki, awal pagi tadi.
Jaringan separuh masa pertama daripada Otavio dan Diogo Jota meletakkan Portugal dalam penguasaan di Porto, tetapi Burak Yilmaz mengurangkan defisit gol selepas sejam permainan dan berpeluang menyamakan kedudukan daripada sepakan penalti ketika perlawanan berbaki lima minit.
Iklan
Bagaimanapun, Yilmaz terlepas sasaran dari jarak 12 ela itu sebelum Matheus Nunes melengkapkan kemenangan 3-1 untuk tuan rumah pada masa kecederaan, sementara satu percubaan Ronaldo di hujung permainan terkena palang.
Ronaldo juga gagal menjaringkan sebarang gol ketika Portugal seri dengan Republik Ireland dan kekalahan kepada Serbia yang menyebabkan anak buah Santos itu gagal mengesahkan tiket automatik ke Qatar.
Penyerang Manchester United itu hanya meledak empat gol dalam 13 penampilan terakhir, baik bersama kelab mahupun negaranya tetapi ketua jurulatih Portugal tersebut tidak begitu kisah dengan mutu persembahannya.
"Ronaldo dinilai berdasarkan gol yang dijaringkannya, ia sentiasa begitu," kata Santos.
“Daripada perspektif saya, dia beraksi hebat, membawa pasukan ini bersama-sama, bekerja keras dan mengasak dengan keamatan.
"Dia mungkin tidak mencetak gol tetapi ia tidak akan menafikan prestasi cemerlangnya. Dia mempunyai beberapa peluang menarik. Dia tidak memanfaatkannya tetapi dia membuka banyak ruang untuk rakan lain dan ia sesuatu yang perlu diketengahkan."
Ronaldo merupakan salah seorang daripada beberapa pemain veteran dalam pasukan ini yang dijangka harus diketepikan secara berperingkat oleh Santos demi memberi laluan kepada generasi baharu, tetapi jurulatih itu sebaliknya bertindak mempertahankan pemain berpengalaman.
"Yang diminta semua orang untuk diganti itu adalah satu-satunya generasi emas. Saya amat kesal untuk menyatakan perkara ini tetapi dia adalah satu-satunya yang membawa trofi kepada Portugal," katanya.
“Jika ketika ini anda bertanyakan kepada saya sama ada bola sepak Portugal mempunyai masa depan yang cerah menerusi pemain berkualiti tinggi yang mampu bertindak balas pada bila-bila masa, saya akan menjawab ya.
"Portugal sentiasa mempunyai pemain yang hebat tetapi generasi emas adalah yang memenangi emas."
Must-Watch Video