Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Samuel Somerville tidak rela sekadar pelengkap senarai Harimau Malaya

Shaiful Shamsudin
Mei 18, 2021 19:38 MYT
Penjaga gol ketiga skuad negara, Samuel Somerville, melontar keyakinan untuk mencabar posisi Farizal Marlias dan Khairul Azhan Khalid untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Tonggak Penang FC itu yakin dia ada kelainan yang mampu dipertaruhkan untuk mengejar keinginan mahu membantu Harimau Malaya dalam tiga aksi getir pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai bulan depan.
Jika dibanding pengalaman yang dimiliki Farizal dan Khairul Azhan, Samuel mungkin masih mentah dalam kancah antarabangsa.
"Saya tersenyum lebar kerana sangat bangga dan bersyukur apabila nama saya tersenarai untuk skuad kebangsaan," kata pemain kelahiran United Kingdom itu dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Kehadiran pemain berdarah campuran itu sememangnya wajar diawasi kerana dia tidak bercadang sekadar tersenarai tanpa turun beraksi dalam catatan kariernya semata mata.
Sebaliknya, Samuel memiliki objektif tersendiri.
Tegas pemain itu, dia mampu memenuhi apa sahaja corak dan keperluan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, untuk terpilih menjadi tonggak di benteng terakhir negara.
Hari ketiga sesi latihan di ibu negara selain dua aksi pemanas badan menentang Kuwait dan Bahrain umpama medan penentu buatnya dalam mengintai barisan utama.
"Saya perlu lekas belajar dengan taktikal yang diterapkan jurulatih.
"Saya perlu cuba memahaminya secepat yang mungkin dengan menterjemahkannya ketika sesi latihan," katanya.
Selepas berdepan UAE pada 4 Jun, Malaysia yang menguasai tangga kedua akan berdepan Vietnam (12 Jun) sebelum melengkapi kempen Kumpulan G itu bertemu Thailand (16 Jun).
#Harimau Malaya #Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023
;