Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue, tidak berselindung dengan kekecewaannya mengenai kegagalan pasukan kebangsaan melepasi halangan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia meskipun diangkat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Apa tidaknya, segalanya bermula dengan baik tetapi pengakhiran kempen seolah-olah meranapkan hasrat bukan sahaja sebuah pasukan, malah seluruh Ekor Harimau Malaya terkesan.
Bagaimanapun, Josue tidak mahu memandang semuanya negatif, sebaliknya ada beberapa perkara yang boleh dibanggakan berlaku dalam skuad Pan-gon sepanjang kempen berlangsung.
Andai setiap percubaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam tadi menemui sasaran tepat, baginya skripnya sudah pasti berbeza.
"Sekiranya kami menjaringkan 2-3 peluang terhidang dalam separuh masa pertama maka babak kedua pasti jadi berbeza.
"Selepas jaringan saya (gol kedua Malaysia), kami mengambil sedikit risiko.
"Apa pun kami patut gembira dengan pencapaian ketika ini memandangkan kami memungut 10 mata. Jika dalam kumpulan berbeza mungkin pungutan mata ini sudah memadai untuk layak.
"Itu sahaja kami mampu kawal dan kami perlu terus bekerja keras dalam cabaran seterusnya," katanya dalam sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Shaiful Shamsudin
Wed Jun 12 2024